Shamsul diarah jumpa MTEM

Feb 7, 2013 Publish by MTEM

KUALA LUMPUR 6 Feb. – Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petroliam Nasional Bhd. (Petronas), Tan Sri Shamsul Azhar Abbas diarah menemui Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) bagi menyelesaikan isu yang dibangkitkan oleh pertubuhan itu.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, langkah itu perlu kerana cadangan supaya Shamsul Azhar meletakkan jawatan dalam syarikat minyak nasional itu tidak akan menangani sebarang masalah.

“Saya telah mengarahkan Shamsul berjumpa dengan mereka untuk menyelesaikan masalah tersebut,” katanya yang juga penasihat Petronas.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan buku bergambar bertajuk Antarctica: Malaysia’s Journey To The Ice oleh Pusat Penyelidikan Nasional Antartika di Kompleks Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas desakan 47 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ekonomi Melayu di bawah MTEM yang mahu Shamsul Azhar meletakkan jawatan sebagai peneraju syarikat minyak itu.

MTEM mendakwa Petronas di bawah kepimpinan Shamsul Azhar gagal menjalankan tanggungjawab dan matlamat penubuhan Petronas untuk meningkatkan ekonomi usahawan bumiputera khususnya dalam bidang minyak dan gas.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir tidak menolak ada pihak yang tidak memahami mengenai dasar-dasar Petronas dan industri petroleum.

Berikutan itu, tegas beliau, adalah menjadi tanggungjawab Shamsul Azhar untuk melihat, menjawab dan menyelesaikan sebarang permasalahan dan kekeliruan yang berlaku.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130207/dn_06/Shamsul-diarah-jumpa-MTEM#ixzz2KBCsb7t6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tags:

Comments