Kenyataan Media: Isu Petronas & Vendor Bumiputera dari Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) 19 November 2013

Nov 19, 2013 Publish by Media MTEM
Salam bahagia
Berikut adalah kenyataan media dari Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mengenai isu pemberian kontrak Petronas kepada vendor Bumiputera bertarikh 19 November 2013:

SIARAN MEDIA

 

PETRONAS PATUT BERI 100 BILLION KEPADA SYARIKAT BUMIPUTERA, BUKAN 10 BILLION

 Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mengucapkan syabas kepada Petronas yang telah begitu bermurah hati menganugerahkan kontrak sebesar RM10 billion kepada enam syarikat ‘tempatan’ selama 5 tahun bagi projek ‘Pan Malaysia Integrated Offshore HUC/TMM’ baru-baru ini. Sesungguhnya ia merupakan satu rekod diluar kebiasaan berdasarkan tempoh serta nilai kontrak yang diwar-warkan.

MTEM tidak berminat untuk mempersoalkan kelayakan mahupun status keMelayuan yang ada pada syarikat-syarikat yang telah dilantik oleh Petronas. Walaubagaimanapun, sekiranya dibandingkan jumlah tersebut dengan bajet perbelanjaan sebanyak RM200 billion Petronas, peruntukan RM10 billion cuma sekitar 5% sahaja. Jika dibandingkan pula dengan amanat YAB Perdana Menteri yang mahu Petronas memperuntukkan sebanyak RM100 billion untuk program Pembangunan Vendor (VDP) bagi 22 skop kerja melalui agenda pemerkasaan Bumiputera, sudah tentulah jumlah RM10 billion menjadi kecil sekali.

Jika agenda Pemerkasaan Bumiputera dijadikan ukuran, maka tugas Presiden dan CEO Petronas pasti sukar sekali. Program VDP bukan sahaja wajib diperkuatkan, bahkan mesti dijadikan penunjuk prestasi utama (KPI) kepada keberkesanan pentadbiran seorang Ketua Pegawai Eksekutif. Semenjak mengambil alih teraju Petronas, beliau nampaknya kurang berkesan dalam memperkasakan usahawan Melayu di Petronas.

Dakwaan ini ada asasnya. Sebagai contoh, dalam rantaian kerja ‘Exploration & Production (E&P)’ skop untuk kerja-kerja upstream seperti Drilling & Completion, Seismic Monitoring dan sebagainya masih dimonopoli syarikat asing; manakala kerja-kerja Pembangunan seperti Engineering, Design & Construction (termasuklah skop kerja Hook Up Commissioning & Topside Major Maintenance yang baru dianugerahkan Petronas) yang dahulunya banyak diberi kepada syarikat Bumiputera kini dikuasai syarikat tertentu sahaja. Lebih memburukkan keadaan apabila Petronas mewajibkan usahasama dengan syarikat asing.

Gambarajah dibawah memberikan gambaran peratusan bagi skop kerja E&P:

1

Akibatnya, syarikat-syarikat Melayu yang dahulunya begitu berjaya, tiba-tiba terkeluar daripada senarai pendek Petronas.

2

Petronas juga dilihat sukar untuk mengiktiraf kepakaran tempatan. Sebagai contoh, khidmat ‘chemical fluid for deepwater drilling’ bernilai RM700 juta boleh diberi kepada dua buah syarikat asing; tetapi khidmat ‘chemical fluid for shallow water drilling’ yang bernilai RM1.6 bilion hanya diberi kepada sebuah syarikat tempatan, sedangkan masih ada beberapa syarikat Bumiputera lain yang mampu melaksanakannya. Bahkan dilaporkan ada syarikat Bumiputera yang telah membina kilang kimia mereka di Gebeng, Kuantan dengan mendapat pinjaman bank tetapi hampir ‘gulung tikar’ apabila peluang mereka dinafikan Petronas.

Hakikatnya, daripada 77 syarikat bertaraf VDP yang dilantik kini cuma tinggal 11 sahaja apabila pengurusan Petronas menutup seblah mata penghapusan secara sistematik program VDP yang kononnya terpaksa dilakukan akibat kegagalan beberapa syarikat serta aktiviti monopoli dan rasuah. Tetapi agak menghairankan apabila monopoli masih dibiarkan berlaku diluar program VDP. Lebih memburukkan keadaan apabila syarikat asing diberi ‘lampu hijau’ untuk menguasai sesebuah kontrak dengan mengguna-pakai perjanjian usahasama yang tidak saksama dan tidak menguntungkan syarikat tempatan.

MTEM percaya bahawa masih terlalu banyak ruang untuk kontraktor dan pembekal Bumiputera memainkan peranannya di Petronas. Program VDP sebagai contoh perlu diperkuatkan dan bukan disempitkan, manakala tempoh perlaksanaannya dilanjutkan daripada 5 tahun kepada sekurang-kurangnya 10 tahun. Ini bagi memberi peluang kepada sesebuah syarikat melaksanakan modul perniagaan yang berkesan dan menyeluruh, merangkumi aspek pelaburan, pembangunan dan latihan. Petronas juga tidak perlu takut untuk melaksanakan ‘carve-out’ suatu kaedah pembahagian kontrak yang terbukti berjaya dilaksanakan untuk projek KV MRT contohnya.

MTEM berharap agar Petronas lebih ikhlas dan lebih yakin kepada kemampuan usahawan dan kontraktor Minyak & Gas tempatan; terutama dalam melaksanakan kerja-kerja yang jauh lebih teknikal dan rumit. Hal ini telah dibuktikan melalui kejayaan beberapa syarikat Bumiputera mendapat pengiktirafan antarabangsa setelah menyiapkan projek-projek upstream bersama syarikat minyak asing di Malaysia dan di luar negara. Mereka dihormati kerana kualiti kerja yang bermutu dan efisien serta tawaran harga yang kompetitif. Malang sekali apabila mereka sering di anaktirikan apabila berurusniaga di Malaysia.

MTEM berpendapat bahawa polisi baru yang sedang direncanakan oleh Petronas harus dirombak semula agar kembali mengutamakan tenaga serta kepakaran anak watan. Usahasama dengan syarikat asing, sekiranya perlu mestilah mengutamakan kebajikan syarikat tempatan disamping memastikan barlakunya proses pertukaran teknologi dan ilmu. Akhir sekali, penglibatan vendor Melayu dan Bumiputera dalam melaksanakan kerja-kerja di Petronas harus digandakan agar mampu mencapai agenda pemerkasaan Bumiputera serta Wawasan 2020 sebagaimana yang diimpikan oleh pemimpin negara dulu dan sekarang.

Terima kasih.

Disediakan oleh:

Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM)

 

Comments