Kenyataan Media: Bantah TPPA: Adakah kerajaan Malaysia membenarkan Amerika Syarikat menentukan undang-undangnya?

Aug 27, 2014 Publish by MTEM

KENYATAAN MEDIA – 26 Ogos 2014

Bantah TPPA: Adakah kerajaan Malaysia membenarkan Amerika Syarikat menentukan undang-undangnya?

Bantah TPPA kini bimbang dengan kajian terbaru yang menunjukkan Amerika Syarikat akan dibenarkan untuk menentukan undang-undang Malaysia sekiranya Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) dilaksanakan.

Sebuah laman web (TPPANoCertification.org) baru-baru ini telah menunjukkan Amerika Syarikat menuntut ‘pensijilan’ menjadi sebahagian daripada TPPA. Jika diterima, ini bermakna kerajaan Amerika Syarikat, Kongres dan syarikat-syarikat multinasional berkaitan boleh mengenakan tafsiran masing-masing setelah TPPA bertapak di Malaysia.

Laman web itu juga memperincikan bagaimana Amerika Syarikat telah bertanggungjawab menggubal undang-undang di Peru beberapa tahun lepas. Jelas ditunjukkan dalam laman web itu bagaimana Dekri Jabatan Perhutanan dan Hidupan Liar Peru (ketika itu dikenali sebagai DL1090​​) telah digubal oleh Amerika Syarikat seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Wakil Perdagangan Mara Burr.

Dalam konteks Malaysia, kita ambil contoh rang undang-undang perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang sedang dibincangkan.

Adakah kerajaan Malaysia – sama seperti Peru – akan membenarkan Amerika untuk campur tangan dalam penulisan rang undang-undang agar dihentikan sebarang layanan istimewa untuk PKS tempatan dan menuntut peluang yang sama bagi syarikat asing dari jenis yang sama untuk memasuki pasaran?

Dengan itu kami ingin bertanya kepada kerajaan Malaysia sama ada ia membenarkan negara asing menentukan undang-undang negara hanya demi potongan kecil dalam tarif di pasaran.

Jika tidak, kerajaan mestilah menjelaskan pendiriannya terhadap isu ini dengan tegas. Kami juga ingin menarik perhatian dengan kenyataan bahawa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tidak mengendahkan cadangan Bantah TPPA untuk membincangkan setiap bab TPPA secara terperinci di dalam kumpulan-kumpulan fokus antara pegawai perunding TPPA bersama masyarakat sivil.

Oleh itu kami masih tidak nampak arah kedua-dua rundingan dan kandungan perjanjian itu sendiri.

Di sini juga kami ingin menjelaskan bahawa Bantah TPPA bukanlah satu badan yang menentang perjanjian perdagangan secara umum.

Bagaimanapun, kami percaya perjanjian sebegini perlu khusus sebagai sebuah perdagangan yang bebas dan adil serta tidak didatangi dengan prasyarat bagaimana sesebuah kerajaan itu menguruskan negaranya.

Dengan hari Merdeka ke 57 bakal menjelma beberapa hari sahaja lagi, ianya sesuatu yang “ironik” sekiranya kerajaan beria-ia menyokong perjanjian perdagangan ini kerana jika mereka bersetuju dengan pensijilan dalam TPPA, ini melambangkan seolah-olah negara kembali membenarkan kuasa asing mentadbir dan menentukan hala tuju negara kita.

NIZAM MAHSHAR

PENGERUSI

BANTAH TPPA

Muat turun versi Inggeris di PR BantahTPPA ENG 20140826.

Comments