Artikel TPPA No 12 (2015): Jangan Jual Negara

Aug 3, 2015 Publish by MTEM

Berikut adalah artikel asal yang diterbitkan oleh Sinar Harian setiap hari Isnin di sisipan Bisnes.

 

Tajuk: Jangan jual negara

Oleh: Mohd Nizam Mahshar, CEO MTEM

Awal bulan Jun, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) bersama Bantah TPPA telah memulakan kempen “Jangan Jual Negara” untuk memberi penerangan kepada “grassroots” atau golongan akar umbi mengenai Perundingan Perjanjian Trans-Pasifik (TPP) yang dijangka akan diselesaikan dalam masa yang terdekat.

Namun ramai yang masih tidak sedar dan tidak tahu bahawa perjanjian perdagangan yang diterajui Amerika Syarikat ini akan memberi impak yang amat besar terhadap negara dari pelbagai segi. Walaupun sebilangan kecil rakyat Malaysia tahu bahawa negara kita bersama sebelas negara lain termasuklah jiran terdekat Brunei dan Singapura giat berunding dengan kuasa besar itu, tetapi banyak perkara teknikal yang tidak dapat difahami menyebabkan mereka tidak berminat untuk mengikuti perkembangan yang terkini.

Barack Obama pula dilihat semakin mendesak memandangkan kedudukan beliau sebagai presiden AS akan tamat awal tahun 2017 di mana beliau perlu menyelesaikan perundingan sebelum kempen pilihanraya negaranya bermula akhir tahun ini.

Tidakkah kita berasa hairan bahawa AS boleh menaikkan taraf Malaysia di dalam Laporan Anti-Pemerdagangan Manusia Amerika Syarikat (Trafficking In Persons Report (TIP)) yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara kuasa besar itu dari Tahap Ketiga (Tier 3) kepada Tahap Kedua ‘Watchlist’ (Tier 2 Watchlist) baru-baru ini walaupun beberapa bulan lepas kubur besar yang dipenuhi mayat reput dan kem pelarian Rohingya telah dijumpai di Perlis berdekatan dengan sempadan Thailand?

Jika Malaysia kekal pada Tahap Ketiga, ia tidak layak menyertai TPP. Penaikan taraf ini memberi laluan kepada Malaysia untuk terus kekal berunding. Di sini dapat kita lihat bahawa AS sanggup mengenepikan prinsip “human rights” atau “hak kemanusiaan” yang sering diwar-warkannya demi menyelesaikan perundingan TPP.

Malaysia dianggap rakan kongsi yang penting bagi menjayakan polisi “Pivot to Asia” (Condong ke Asia) yang diperkenalkan oleh Obama di mana salah satu objektifnya ialah untuk mengimbangi kebangkitan kuasa negara China di rantau ini. Apakah rakyat Malaysia akan tersepit di tengah-tengah permainan geo-politik ini? Sudah pasti jawapannya adalah “ya”.

Walaupun perundingan TPP telah memasuki fasa akhir, kita sebagai rakyat Malaysia masih ada masa untuk menyedarkan para pemimpin negara bahawa perjanjian ini tidak boleh ditandatangani tanpa mengambil kira pandangan orang ramai yang akan menerima akibatnya dari kenaikan harga ubat-ubatan serta ancaman terhadap polisi pemberian subsidi bagi sektor-sektor seperti perikanan dan pertanian.

Penyokong-penyokong TPP menyatakan bahawa hasil produk tempatan akan memperolehi pasaran antarabangsa yang lebih besar memandangkan negara-negara perunding merangkumi 40 peratus dari keluaran dalam negara kasar dunia. Namun, secara realistiknya, mampukah syarikat-syarikat kecil dan sederhana Malaysia bersaing dengan syarikat-syarikat dari negara maju seperti AS, Jepun dan Australia yang mempunyai lebih banyak dana untuk menjalankan R&D (penyelidikan) dan mengeluarkan lebih banyak produk baru dalam setahun?

Walaupun AS merupakan pendokong utama TPP, sebahagian rakyatnya dan juga ahli-ahli politik parti Obama sendiri tidak bersetuju dengan perjanjian tersebut kerana ia dipercayai akan mengurangkan peluang pekerjaan akibat kecenderungan syarikat-syarikat besar membuka kilang-kilang di negara membangun dan juga menggalakkan lambakan produk-produk dari negara asing yang boleh dijual dengan harga yang lebih murah dari produk buatan tempatan atau barangan “Made in America”.

Setelah TPP ditandatangani, syarikat tempatan tidak boleh diberikan keistimewaan dan perlu bersaing di atas landasan atau “platform” yang sama dengan syarikat-syarikat asing bagi mendapatkan kontrak kerajaan. Pada pendapat kami, banyak syarikat tempatan yang masih perlukan sokongan khusus dari kerajaan untuk memantapkan pengeluaran produk atau servis mereka. TPP juga mengharuskan pengurangan atau pelupusan subsidi bagi beberapa sektor seperti sektor pertanian dan perikanan.

Di Jepun, petani-petaninya menyatakan kerisauan dengan pengimpotan berlebihan produk agro-makanan dan bahan-bahan seperti beras, gandum dan daging lembu. Pengusaha-pengusaha ladang penternakan lembu susu di Kanada pula bimbang bahawa sistem sediaada serta tariff yang memastikan usahawan-usahawan kecil dan sederhana boleh bertahan akan terhapus akibat sistem perdagangan yang lebih terbuka di mana saingan hebat akan terpaksa dihadapi dari negara industri tenusu seperti New Zealand.

Mereka, seperti juga golongan nelayan dan petani Malaysia yang diwakili Bela Tani dan JARING amat risau dengan masa depan mereka. Buat masa sekarang, Malaysia masih mengekalkan 40 peratus tariff bagi pengimpotan beras. AS pula pernah menyatakan bahawa ia mahukan kadar “Zero Tariff” ke atas produk pertanian. Nasib SME tempatan tidak akan terbela jika kehendak AS diikuti.

TPP bukan hanya merangkumi isu-isu perdagangan dan perniagaan tetapi juga isu budaya dan hakmilik kaum asal (indigenous) seperti hak pemilikan tanah warisan dan hakmilik intelektual tradisi seperti ubat-ubatan yang diamalkan secara turun temurun. Di New Zealand, TPP telah mendapat tentangan serius dari golongan Maori yang tidak mahu hak mereka di ekploitasi oleh syarikat-syarikat multinasional yang boleh sahaja menggunakan mahkamah antarabangsa untuk merampas tanah warisan serta ilmu tradisi mereka atas dasar kesamarataan yang didokong oleh perjanjian perdagangan tersebut. Bagaimana pula dengan hak Orang Asal negara kita dan juga hak keistimewaan Bumiputera? Sudah tentu ia akan terjejas.

Pelbagai lagi isu yang perlu dikupas satu per satu agar rakyat keseluruhannya faham bahawa TPP merupakan ancaman besar terhadap hak-hak setiap individu dan setiap sektor di negara ini. Kami di MTEM sedang berusaha dengan bersungguh-sungguh agar rakyat Malaysia dapat bersama untuk membela hak anak-anak dan cucu-cicit kita dari dirampas oleh kuasa asing yang hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

Jangan biarkan hak kita dan kedaulatan negara kita dikompromi. Rekodkan bantahan anda dengan menandatangani e-petisyen Bantah TPPA di  www.janganjualnegara.com.

Comments