Artikel TPPA no 11: ETP dan TPPA – Strategi ekonomi kuno yang akan membinasa

Jul 27, 2015 Publish by MTEM

Berikut adalah artikel asal yang diterbitkan oleh Sinar Harian setiap Isnin di sisipan Bisnes.

 

ETP dan TPPA: strategi ekonomi kuno yang akan membinasa

Penulis: Azlan Awang, Felo Kanan MTEM

 

Malaysia cenderong memakai sistem dan teknologi lama atau yang tidak tepat di mana ia tidak memenuhi keperluan masa depan negara.

Dulu kapal selam yang dibeli pun berteknologi lama tanpa AIP (Air-Independent Propulsion), berbanding dengan kapal selam Singapura yang lebih lengkap. Teknologi AIP membolehkan kapal selam bertahan lama tanpa perlu selalu ke permukaan. Dalam erti kata lain, ia lebih ‘stealth’.

Kemudian pernah kita beli kereta kebal yang tidak stabil kerana meriamnya yang terlalu berat, dan jet perang yang tidak boleh digunakan di medan perang.

Sekarang ini kita pula kemaruk dengan sistem ekonomi yang sudah lapuk. Pada suatu masa dahulu, International Monetary Fund (IMF) telah menggunakan Structural Adjustment Programme (SAP) untuk menghukum negara yang tidak membayar hutang. Banyak negara yang telah punah akibat hukuman SAP.

SAP yang berasaskan pendekatan “Washington Consensus”  atau agenda neoliberal – sudah lama ditolak – lebih-lebih lagi selepas krisis kewangan global 2008. Antara preskripsi Washington Consensus ialah  pengurangan subsidi , GST pada rakyat tetapi cukai rendah untuk sektor korporat dan yang kaya, disiplin fiskal, pengswastaan, obsesi pada FDI dan GDP, perdagangan liberal, aliran modal bebas, konsep harta yang “extreme”, kerajaan kecil dan deregulasi.

Antara Model Ekonomi Baru dan ETP, hampir semua preskripsi Washington Consensus  sudah kita laksanakan  secara sukarela dan rela hati tanpa dipaksa. Namun ada yang belum dilaksanakan sepenuhnya. Sekarang TPP pula akan melengkapkan agenda ini.

TPP akan mengunci dasar negara dalam dua sektor. Kewangan dan hakcipta intelek (IP)  – dua sektor yang sangat strategik untuk masa depan Amerika Syarikat.

AS sanggup kompromi di dalam beberapa hal dalam perundingan TPP tetapi tidak akan berganjak dari pendiriannya dalam hal sektor kewangan. ‘Teori konspirasi’ negara diserang kerana menggugat sistem kewangan AS saperti Iraq dan Libya hanya kerana mencadangkan penggunaan Euro atau Dinar memang boleh dipercayai.

Dengan senjata ISDS (Investor-State Dispute Settlement) yang telah dibincangkan dalam artikel-artikel yang lalu, bersamaan tribunal antarabangsa (ICSID dan UNCITRAL),  semua dasar kerajaan boleh dipertikaikan.

ISDS dengan klausa dalam bab pelaburan saperti FET (fair and equitable treatment), “expropriation” dan “free flow of capital” menjadikan ISDS satu alat lebih berkuasa dari kapal perang atau bom nuklear untuk mendisiplin mana2 negara yang tidak patuh.

Secara halus kedaulatan negara-negara kecil dalam TPP akan terhakis sama sekali dengan syarat-syarat TPPA. Apa tidak, jika perjanjian TPP itu menjadi penentu paling agung dalam kerangka perundangan, kehakiman dan eksekutif. Malah Perlembagaan Persekutuan akan tertakluk dan tunduk pada penetapan TPP dan perlu diubahsuai supaya tidak bercanggah dengan TPP. Begitu juga dengan semua undang-undang, dasar dan peraturan sediada.

Semua undang-undang dan peraturan-peraturan baru apabila hendak digubal –  wajib di selaraskan dengan kehendak TPP dengan menilai impaknya terhadap perjalanan pelaburan dan bisnes mengikut kaedah ‘regulatory impact assessment’ (RIA). Ini akan menjadi satu keperluan dibawah bab ‘regulatory coherence’ atau kepaduan pengaturan. Malah peruntukan kaedah RIA ini sudah pun wujud dibawah Malaysian Productivity Centre (bawah MITI).

Antara strategi utama ETP adalah untuk mempromosi pelaburan swasta. Untuk itu satu rejim insentif di hasilkan antaranya adalah liberalisasi, kaji-semula pengaturan dan prosedur pentadbiran. Dalam kata lain “liberalisation and deregulation”.

Masa depan US bergantung kepada kejayaan dan kesinambungan perniagaan syarikat antarabangsa seperti Microsoft, Apple, Intel, Monsanto, Pfizer, GlaxoSmithKline, Time-Warner, Walt Disney, Goldman Sachs, Visa dan EBay.

Masa depan mereka memerlukan kerangka perundangan dan pengaturan yang mesra dan tidak mengekang. Proses “liberalisation dan deregulation” yang dimulakan oleh ETP akan diperkukuhkan oleh TPP secara muktamad.

Kini, AS sudah tidak lagi menjadi negara utama pembuat dan pekilang (manufacturing kerana peranan itu telah di ambil-alih oleh negara seperti China dan India.

TPPA adalah satu mekanisma berkesan yang boleh tembak 10 ekor burung dengan satu batu. Alat penjajahan ekonomi dan politik abad ke -21 yang “gold-standard”.

Amat menyedihkan apabila negara paling maju di dunia tidak peka dengan permasalahan dunia abad ke-21 yang parah mengalami kelaparan, kemiskinan, ketidaksamaan, ketidak-stabilan sistem kewangan, krisis “over-financialization”, perubahan iklim, krisis geopolitik dan peperangan. Malah TPP dan perjanjian yang seumpamanya akan lebih menambahburuk lagi masalah-masalah ini.

Banyak pengajaran boleh dipelajari dari krisis kewangan 2008. Mengikut UNCTAD, strategi yang digunapakai sebelum krisis tersebut sudah tidak boleh digunakan lagi. Strategi yang berpaksikan ekspot dan sektor kewangan (“financialisation” dan spekulasi) sudah lapuk. Satu strategi yang seimbang diperlukan. Peranan gaji dan upah perlu di beri lebih perhatian sepertimana juga peranan sektor awam.

TPP sebaliknya menekankan pendekatan yang usang dan membinasakan demi kepentingan negara-negara maju terutamanya kepentingan syarikat gergasi multinasional. Keperluan dalam TPP untuk tarif ekspot dihapuskan akan membawa kita kembali ke era pra-perang dunia dimana peranan ekstrasi dan ekspot sumber semulajadi mentah digalakkan.

Sektor perkhidmatan dan kewangan di bebaskan dari kawalan akan menyebabkan lambakan modal ‘hit and run’ melanda industri ‘real economy’ tempatan yang perit dibina.

Mengapa Malaysia cenderung dengan pendekatan-pendekatan yang dah lapok dan membinasakan ini? Pendekatan ini jelas akan membawa Malaysia kearah menjadi sebuah “failed state”.

 

 

 

 

Comments