Artikel TPPA no 10 (2015): Jangan gadaikan hak komuniti nelayan, kemajuan sektor perikanan demi TPP

Jul 20, 2015 Publish by MTEM

Berikut adalah artikel asal yang diterbitkan di Sinar Harian setiap hari Isnin di sisipan Bisnes.

 

 

Tajuk: Jangan gadaikan hak komuniti nelayan, kemajuan sektor perikanan demi TPP

Penulis: Mohd Nizam Mahshar, CEO MTEM

 

Pada 31 March 2015, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Bela Tani dan Jaringan Nelayan Pantai Semenanjung Malaysia (JARING) telah mengeluarkan satu kenyataan bersama yang meminta agar kerajaan “menolak sebarang usaha ke arah Kolonisasi Korporat terhadap industri pertanian negara” melalui TPP “serta melindungi Dasar Sekuriti Jaminan Makanan Negara dan mempromosi usaha-usaha ke arah mempertahankan Kedaulatan Makanan Negara”.

Menurut kenyataan mereka, perjanjian TPP akan membolehkan seberapa banyak kapal-kapal dari negara-negara TPP lain untuk menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa sekatan. Perjanjian ini juga menetapkan bahawa lesen menangkap ikan yang telah diberikan kepada individu atau syarikat dari negara TPP yang lain tidak boleh dibatalkan dengan sewenang-wenangnya jika kerajaan ingin menukar polisi atas dasar kepentingan negara.

Mengikut peruntukan Investor-State Dispute Settlement (ISDS) atau Penyelesaian Pertelingkahan Pelabur-Negara, kerajaan harus membayar pampasan yang besar kepada syarikat luar ini jika lesen mereka dibatalkan atas alasan bahawa mereka akan kehilangan keuntungan mada hadapan iaitu sepanjang tempoh baki lesen tersebut.

Subsidi perikanan juga merupakan suatu perkara yang amat membimbangkan. Menurut AS subsidi perikanan merupakan antara perkara yang menyebabkan lebihan kapasiti (overcapacity) dan penangkapan ikan yang berlebihan (overfishing) serta menggalakkan “shark-finning” atau industri sirip ikan yu yang telah menyebabkan kekurangan ketara beberapa spesis ikan ini.

Untuk mengatasi masalah-masalah ini, USTR atau Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) telah menerbitkan pelan Kertas Hijau (Green Paper) mengenai Konservasi dan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) pada bulan December 2011, di mana ia percaya bahawa Bab Alam Sekitar yang dicadangkannya akan memudahkan peningkatan perdagangan dan di waktu yang sama menyokong dan menambahbaik usaha konservasi yang berkaitan dengan sumber alam semulajadi serta tindakan melindungi dan memulihara biodiversiti di serantau Asia-Pasifik.

Cadangan yang dianggap “groundbreaking” itu mengandungi peruntukan (provision) mengenai halangan subsidi perikanan yang diharapkan oleh AS dapat meningkatkan “baseline” atau garisan dasar yang  baru untuk melindungi industri perikanan. Cadangan seperti ini belum pernah lagi dimasukkan di dalam mana-mana perjanjian perdagangan yang terdahulu, menurut USTR. Peruntukan ini juga diharapkan dapat mengawasi IUU Fishing (Illegal Unregulated and Unreported) atau Kegiatan Perikanan Melanggar Hukum.

Empat negara perunding TPP adalah diantara 15 pengeluar utama dunia bagi produk perikanan mengikut jumlah dagangan. Subsidi perikanan pula dianggarkan merangkumi 25 peratus dari keseluruhan nilai tangkapan dunia yang sah dan tidak sah (IUU) yang berjumlah di antara US$10 billion hingga US$23.5 billion setahun.  AS mengharapkan bahawa cadangan ini akan membuka jalan yang lebih mudah bagi perundingan perjanjian WTO mengenai subsidi perikanan, terutama sekali dari segi bahanapi (fuel) dan pembinaan (construction) yang akan membolehkan kumpulan nelayan untuk bergerak lebih jauh dari pantai ke laut dalam.

Perjanjian ini dikhuatiri akan memberi kesan buruk kepada industri perikanan domestik terutamanya pengusaha kecil-kecilan dan komuniti nelayan. Tidak semua jenis subsidi akan memudaratkan sektor perikanan. Oleh itu, kerajaan harus diberi kebebasan untuk menentukan jenis subsidi yang mana dan polisi atau dasar apakah yang boleh dilaksanakan bagi meningkatkan produktiviti sektor ini serta taraf kehidupan komuniti nelayan.

Jika diteliti perjanjian-perjanjian perdagangan Amerika Syarikat yang lepas, tidak dapat dinafikan bahawa ia menjurus lebih kepada pro-industri. Oleh itu, bolehkah Malaysia mengharapkan bahawa negara ini akan dilindungi dari ancaman korporat?

Setakat ini, AS dibawah USTR belum pernah lagi membawa negara asing ke tribunal antarabangsa kerana melanggar syarat-syarat yang ditetapkan di dalam perjanjian perdagangan yang merangkumi klausa perlindungan alamsekitar. TPP pula dikhuatiri akan memberikan lebih banyak kuasa kepada syarikat-syarikat besar untuk mencabar dasar perlindungan alamsekitar sesebuah negara.

Penentang TPP yang merupakan ahli parti Demokrat Elizabeth Warren menulis beberapa bulan yang lepas mengenai sebuah kes di antara sebuah syarikat perlombongan yang ingin membuat letupan di perairan Nova Scotia di Kanada. Kerajaan Kanada tidak mahu meluluskan permit untuk syarikat tersebut kerana ia akan mengakibatkan kerosakan kepada alamsekitar serta mengakibatkan ikan beredar dari kawasan tersebut, seterusnya memberi kesan buruk kepada tangkapan nelayan.

Dengan menggunakan aplikasi ISDS, syarikat tersebut telah mengheret kerajaan Kanada ke mahkamah antarabangsa. Keputusan yang memihak kepada syarikat tersebut tidak dapat dicabar di mahkamah domestik Kanada. Kemungkinan besar, mengikut Warren, hasil kutipan cukai dari penduduk Kanada perlu digunakan untuk membayar pampasan yang berjumlah US$300 juta.

Tidak mustahil situasi yang dihadapi oleh komuniti nelayan tempatan Kanada akan  dihadapi oleh kita.

Walaupun syarikat-syarikat asing dari negara yang menandatangani TPP boleh menyaman Malaysia, nelayan tempatan tidak boleh menggunakan peruntukan di dalam perjanjian tersebut untuk menyaman kerajaan atas hal lesen menangkap ikan. Menurut perjanjian yang berat sebelah ini, nelayan asing diperuntukkan hak yang lebih besar dari segi undang-undang antarabangsa daripada nelayan tempatan.

TPP akan mengikat tangan negara-negara ahli sehingga rakyatnya hanya dapat melihat tanpa dapat berbuat apa-apa. Inikah yang kita mahu?

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Comments