Artikel TPPA no 09 (2015): Jangan pandang enteng isu Bumiputera

Jul 6, 2015 Publish by MTEM

Berikut adalah artikel asal yang diterbitkan oleh Sinar Harian setiap hari Isnin di sisipan Bisnes.

 

TPPA: Jangan Pandang Enteng Isu Bumiputera

oleh Mohd Rizal Jaafar

Menjelang lawatan kedua Presiden Amerika Barack Obama ke Malaysia November ini, sukar untuk kita menolak kemungkinan bahawa Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) sudah sampai ke penghujungnya.  Keyakinan ini diperkuatkan lagi dengan kejayaan Obama meyakinkan Kongres untuk meluluskan Trade Promotion Authority minggu lalu; sekaligus memberikan Presiden Amerika kuasa agung untuk memuktamadkan rundingan TPPA secepat mungkin.  Berdepan musim pemilihan Presiden baru Amerika Syarikat ke-45 yang akan bermula bulan hadapan, Obama dilihat begitu berazam untuk menjadikan TPPA legasi terakhirnya.

Tetapi bagaimana pula dengan pengetahuan serta penerimaan kita sebagai rakyat Malaysia?  Adakah kita benar-benar faham manfaat serta risiko TPPA? Pew Research Amerika melaporkan 18% rakyat Malaysia menganggap TPPA sebagai tidak baik, manakala lebih 31% rakyat Malaysia tidak tahu apa-apa tentang TPPA.  Kesimpulannya, masih ramai yang belum mengerti, apatah lagi memahami perjanjian zalim tersebut.  Ia sebenarnya tidaklah menghairankan memandangkan proses rundingan serta kandungan teks TPPA itu sehingga kini masih lagi rahsia walaupun Malaysia merupakan diantara negara terawal menyertai TPPA.  Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) selaku ketua perunding TPPA Malaysia nampaknya tidak begitu bersungguh; dan jika tidak kerana tekanan yang berterusan daripada badan berkepentingan, pastinya peratusan rakyat Malaysia yang jahil TPPA akan jauh lebih tinggi.

Disamping beberapa isu tradisional perjanjian dagang dua hala seperti tarif, hakcipta, perubatan, pelaburan serta fungsi tribunal antarabangsa (ISDS), isu lebih besar yang seolah-olah mahu ‘dibisukan’ ialah berkaitan Bumiputera.  Amat mengecewakan apabila setelah sekian lama berunding, isu Bumiputera hanya perkara sampingan.

Pendirian sebenar Malaysia terhadap isu-isu besar dalam TPPA termasuk isu Bumiputera masih samar.  Bahagian mana yang mahu dipertahankan dan mana pula yang terpaksa ‘dikorbankan’?  Beberapa dokumen TPPA yang telah bocor jelas menunjukkan isu Bumiputera bukanlah fokus utama para perunding TPPA Malaysia; bahkan MITI langsung tidak memberikan tekanan untuk mengecualikan isu Bumiputera daripada rundingan.  Setakat ini, Malaysia hanya sekadar mencadangkan peruntukan khas (carve-out) diberi kepada syarikat Bumiputera dengan nilai yang tidak seberapa jika dibandingkan dengan bajet tahunan perolehan kerajaan. ‘Carve-out’ untuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta pula hampir tiada langsung.

Umum sedia maklum bahawa agenda Bumiputera adalah agenda kebangsaan.  Rancangan Malaysia Ke-11, sebagaimana sepuluh rancangan-rancangan pembangunan sebelumnya sentiasa responsif akan keperluan Bumiputera.  Semua ini dilaksanakan berlandaskan dua faktor utama.  Pertama, memahami hak serta keistimewaan Bumiputera sebagai warga asal dan suku kaum terbesar di Malaysia.  Faktor yang lebih mustahak ialah untuk menerima hakikat bahawa disebalik kemajuan yang telah diraih, Bumiputera masih jauh tertinggal berbanding kaum Cina terutamanya.  Data-data mengenai kemiskinan bandar, pengangguran siswazah, peningkatan kos sara hidup jelas menunjukkan bahawa dalam perlumbaan menuju status negara maju menjelang 2020, akan ada kumpulan besar yang tertinggal iaitu Bumiputera.

Ironinya, beberapa ahli Kongres Amerika sendiri pernah menyatakan kerisauan mereka tentang sikap ‘terlalu berlembut’ perunding TPPA kita berhubung kepentingan Bumiputera, sedangkan ia unik buat Malaysia dan amat penting dalam memastikan pelan pembangunan negara dapat diteruskan tanpa halangan.

Masih terlalu banyak persoalan berkenaan hak Bumiputera dan TPPA yang belum dijawab.   Begitu juga dengan usaha untuk mendapatkan input pihak berkepentingan Bumiputera yang terlalu sedikit, serta ketiadaan suara lantang yang berani mempersoalkan TPPA dipelbagai peringkat.  TERAJU sebagai agensi pelaksana Bumiputera dilihat terlalu sibuk dengan program keusahawanan dan MARA pula tidak dilibatkan secara langsung didalam rundingan TPPA. Persoalan seperti peranan serta kuasa agensi berkaitan Bumiputera, isu tauhid, adat serta status tanah rezab Melayu, status institusi seperti Tabung Haji, Amanah Saham Bumiputera, bank-bank Islam, Takaful, kuasa kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan, pemberian subsidi, BR1M dan status syarikat gergasi seperti PETRONAS perlu dijawab.

TPPA perlu difahami dengan jelas dan telus.

Kita berharap agar DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong bersama Majlis Raja Raja Melayu maklum akan impak TPPA kepada bidang kuasa raja-raja Melayu dan kepada Perlembagaan Malaysia.  Kita berharap agar Jabatan Peguam Negara, Institusi Kehakiman negara, pemimpin masyarakat Melayu dan Bumiputera termasuk di Sabah dan Sarawak, para pemimpin agama dan pelajar faham bagaimana TPPA boleh menggugat kestabilan dan keharmonian antara kaum sebagaimana yang pernah terjadi apabila British melaksanakan dasar ‘pecah dan perintah’nya dahulu; dan faham bagaimana penguatkuasaan terhadap isu-isu berkaitan akidah serta adat resam boleh diubah demi melindungi kedudukan Malaysia didalam TPPA, atau mengelak daripada disaman.

Kita juga berharap agar syarikat GLC dan swasta faham bagaimana TPPA boleh mengurangkan pegangan ekuiti ahli lembaga pengarah syarikat Bumiputera; keuntungan syarikat boleh disalur keluar negara tanpa had, dan tenaga buruh boleh dibawa masuk tanpa sekatan.

Akhir sekali kita berharap agar YAB Dato Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebagai Presiden UMNO, Pengerusi Barisan Nasional dan Majlis Ekonomi Bumiputera dan Perdana Menteri Malaysia, faham bahawa untuk menjadi sebuah negara maju, kita tidak perlukan TPPA.

Tatkala negara berdepan pelbagai kemelut termasuk kejatuhan nilai ringgit dan harga minyak, bencana, ketidaktentuan pasaran saham serantau, masalah ketidaksaksamaan yang semakin meruncing, rasuah dan ketirisan, kita tidak perlu menambah satu lagi bencana iaitu TPPA.

Sebelum Barack Obama menjejakkan kakinya buat kali yang kedua November depan, ayuh kita bersama-sama berpadu tenaga  mendesak agar Malaysia menarik diri daripada terus menganggotai TPPA.

Mohd Rizal Jaapar ialah Ketua Pegawai Operasi (COO) Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM)

Comments