Artikel TPPA no 08 (2015): TPPA akan jadi legasi buruk

Jun 29, 2015 Publish by MTEM

Berikut adalah artikel asal yang diterbitkan di Sinar Harian setiap Isnin dalam sisipan Bisnes.

 

Tajuk: TPPA akan jadi legasi buruk

Penulis: Mohd Nizam Mahshar, CEO MTEM

Perkembangan terbaharu di Amerika Syarikat (AS) pada Mei lalu sepatutnya memberikan amaran jelas kepada kerajaan Malaysia untuk tidak menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) atau menghentikan sementara rundingan yang kini masuk peringkat akhir.

Presiden AS, Barack Obama tidak mendapat sokongan mencukupi daripada partinya sendiri untuk melaksanakan TPPA secepat mungkin.

Pemimpin politik di negara itu tidak yakin dengan perjanjian perdagangan bebas (FTA) penuh kontroversi itu yang dikhuatiri memberi kesan buruk kepada industri domestik mereka.

Obama selama ini berharap beliau akan diberikan kuasa ‘fast track’ untuk membolehkannya sebagai Presiden membentangkan TPPA kepada Kongres untuk proses pengundian ‘ya atau tidak’ sahaja tanpa membenarkan sebarang pindaan dibuat ke atas teks akhir TPPA.

Tanpa kuasa ‘fast track’ ini, anggota Kongres AS boleh membuka semula teks TPPA selepas perjanjian itu dimuktamadkan dan mereka boleh membuat tuntutan tambahan daripada semua negara anggota TPPA termasuk Malaysia sebagai syarat sebelum perjanjian itu diluluskan.

Jika mereka boleh mempersoal presiden mereka mengenai butiran dalam TPPA yang dianggap akan memberi kesan negatif kepada AS, kita juga perlu menyuarakan persoalan sama.

Walau apa pun alasan diberikan kerajaan untuk menandatangani TPPA, satu perkara yang tidak dapat dinafikan ialah risiko dan kerugian akibat perjanjian itu jauh lebih besar berbanding manfaatnya, seperti yang telah dibincangkan MTEM dalam siri lapan artikel ini.

Bukan sahaja kerugian dari segi ekonomi dan kewangan, TPPA juga akan menyebabkan Malaysia perlu menuruti prosedur ditetapkan AS dalam sebarang aktiviti kerajaan.

Ini dapat dilihat di bawah bab Kesepaduan Peraturan. Bab ini mencadangkan semua kerajaan negara TPPA wajib menubuhkan agensi koordinasi yang akan berhubung antara satu sama lain bagi memastikan setiap peraturan dan dasar yang dibuat menepati ‘amalan terbaik’ yang ditetapkan mengikut acuan AS.

Nyata sekali TPPA akan meletakkan pelbagai kekangan kepada keupayaan Malaysia untuk membuat keputusannya sendiri berhubung sebarang peraturan dan dasar.

Inilah yang dikatakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini bahawa TPPA bukan perjanjian perdagangan yang adil dan bukan juga perjanjian perdagangan yang bebas.

Sebaliknya, beliau berkata TPPA adalah perjanjian untuk mengikat negara lain termasuk Malaysia menggunakan pelbagai peraturan yang hanya akan memberi manfaat kepada konglomerat AS.

Jadi kerajaan Malaysia juga perlu mula memikirkan manfaat kepada syarikat dan ekonomi negara sebelum bersetuju dengan apa-apa perjanjian perdagangan.

Malangnya pemimpin politik kita sama ada dari BN atau pembangkang tidak memperjuangkan isu ini secara serius untuk melindungi Malaysia daripada kesan buruk TPPA. Ahli parlimen di negara ini sepatutnya menuntut lebih ketelusan dan mempersoalkan setiap butiran dalam perjanjian yang diketuai AS ini.

Kita perlu membuka minda dan melihat TPPA dalam konteks lebih besar iaitu sebahagian daripada rancangan politik, ekonomi dan ketenteraan AS di rantau ini.

Pada November 2011, kerajaan AS di bawah pentadbiran Obama mengumumkan dasar luarnya yang menumpukan kepada Asia atau dikenali sebagai ‘pivot to Asia’.

Di bawah dasar itu, AS mahu menjalinkan hubungan pelaburan dan keselamatan lebih meluas dengan negara Asia bagi menghalang perluasan kuasa China di rantau ini. Daripada dasar inilah lahirnya TPPA.

Matlamat utama TPPA bukanlah untuk mempertingkatkan dagangan negara peserta seperti yang dicanangkan tetapi semata-mata untuk menjaga ego AS yang mahu mengekalkan pengaruhnya dan menjadi polis dunia.

Malaysia tidak perlukan TPPA untuk memperluaskan pasarannya kerana pada masa ini, satu lagi perjanjian perdagangan lebih baik iaitu Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) sedang dirundingkan Asean sebagai sebuah blok dengan enam negara rakan dagangnya iaitu China, India, Jepun, Korea Selatan, New Zealand dan Australia.

RCEP menekankan kepada penubuhan satu rangka kerja ekonomi serantau. Perjanjian itu juga memastikan objektif dan komitmen setiap negara peserta dijalankan secara konsensus iaitu dengan persetujuan bersama.

RCEP juga mengambil kira tahap pembangunan berbeza di setiap negara anggota dan memberikan kelonggaran diperlukan dalam usaha mencapai matlamat akhirnya.

Ini jauh berbeza dengan TPPA yang menuntut komitmen tidak munasabah tanpa mengambil kira kedudukan ekonomi, latar belakang politik atau budaya sesebuah negara.

Kesimpulannya, FTA generasi baharu seperti TPPA sememangnya dipenuhi pelbagai istilah dan konsep perdagangan yang sedap didengar tetapi ia mempunyai kesan memusnahkan terhadap industri domestik, dasar sesebuah negara dan kepentingan awam.

Diakui isu TPPA ini agak rumit dan teknikal untuk difahami rakyat kebanyakan namun MTEM telah berusaha sebaik mungkin untuk menerangkan isu ini dengan mudah dan secara terperinci melalu buku “TPPA: Malaysia is not for sale” yang dilancarkan Dr Mahathir, tahun lalu.

Semua rakyat Malaysia perlu mengambil tahu mengenai TPPA kerana ia kononnya dirundingkan bagi pihak rakyat, walaupun kerajaan tidak pernah memaklumkan butiran atau meminta kebenaran daripada rakyat, iaitu kumpulan yang akan paling terkesan dengan pelaksanaannya.

Bagi MTEM, TPPA akan hanya menjadi legasi buruk kerajaan di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak jika Malaysia tetap berkeras mahu menandatanganinya.

Ingatlah, generasi selepas ini akan mempertanggungjawabkan kepimpinan sedia ada berhubung segala kesan buruk yang berlaku akibat TPPA.

END

 

Comments