Artikel TPPA no 07: Siapa mahu bayar ubat mahal?

Jun 22, 2015 Publish by MTEM

Berikut adalah artikel asal yang diterbitkan di Sinar Harian setiap hari Isnin dalam sisipan Bisnes.

Siapa mahu bayar ubat mahal?

Tiada siapa dapat nafikan kos sara hidup di Malaysia sejak kebelakangan ini melonjak tinggi disebabkan pelbagai faktor.

Apa yang membimbangkan, kos ini mungkin terus meningkat jika kerajaan menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang dikhabarkan akan dimuktamadkan tahun ini.

Ini disebabkan bab Hak Harta Intelek (IPR) yang dimasukkan dalam TPPA oleh Amerika Syarikat (AS), arkitek utama perjanjian itu.

Begitu serius impak bab IPR ini sehingga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri pernah menyebutnya semasa Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik di Bali, Indonesia pada Oktober 2013 seperti dilaporkan media:

“Apabila (rundingan TPPA) mula memasuki bab hak harta intelek, penyelesaian pelabur-negara, syarikat milik kerajaan, alam sekitar dan buruh, secara asasnya ada kesan kepada hak negara berdaulat untuk membuat peraturan dan dasar,” katanya yang turut mengakui TPPA bukanlah perjanjian normal seperti ditandatangani Malaysia sebelum ini.

Antara kesan terbesar IPR adalah pada harga ubat-ubatan. Pada masa ini, setiap ubat dikeluarkan syarikat farmasi mempunyai tempoh hak cipta atau paten selama 20 tahun.

Hak cipta ini memberikan kuasa eksklusif atau monopoli kepada syarikat farmasi untuk mengeluarkan dan mengimport ubat sekali gus memastikan keuntungan disalurkan kepada mereka.

Ya kita faham syarikat farmasi melaburkan wang yang banyak untuk menghasilkan setiap jenis ubat.

Tetapi adakah syarikat farmasi benar-benar ingin mendapatkan pulangan munasabah daripada pelaburan mereka atau hanya mahukan keuntungan melampau apabila sebuah syarikat farmasi popular AS mencatatkan margin keuntungan 42 peratus pada 2013, iaitu tertinggi bagi mana-mana sektor dalam ekonomi, seperti dilaporkan BBC.

Malah margin keuntungan industri farmaseutikal juga dua kali ganda lebih tinggi daripada sektor minyak dan gas pada 2013, menurut kajian Forbes.

Syarikat farmasi AS dilihat mahu terus memastikan mereka mendapat keuntungan melampau ini dengan meminta kerajaan AS memastikan tempoh paten dipanjangkan di bawah TPPA bagi mengelakkan syarikat kecil lain menghasilkan dan menjual ubat mereka dengan murah.

Ini kerana sebaik tempoh paten tamat, syarikat tempatan boleh mengambil ‘resipi’ ubat itu daripada pihak berkuasa kesihatan dan menghasilkan ubat generik dengan komposisi kimia dan kualiti sama seperti ubat asal.

Ubat generik dapat dijual dengan murah kerana syarikat tempatan tidak perlu lagi menjalankan penyelidikan yang memakan kos jutaan ringgit seperti dilakukan syarikat asal.

Penghasilan ubat generik dipersetujui masyarakat antarabangsa bagi memastikan semua orang terutama yang berpendapatan rendah mempunyai akses kepada ubat yang murah.

Jadi lebih cepat versi generik sejenis ubat itu dapat dikeluarkan, lebih ramai orang yang akan mendapat manfaatnya kerana pakar kesihatan di Malaysia mendapati ubat yang dipatenkan boleh mencecah 1,044 peratus lebih mahal berbanding versi generiknya di Malaysia.

Kajian MTEM menunjukkan TPPA akan menaikkan harga ubat-ubatan 60 hingga 80 peratus lebih tinggi berbanding sekarang.

Harga ubat yang semakin mahal akan menyebabkan lebih ramai orang ke hospital kerajaan, menyebabkan kesesakan melampau dan melonjakkan kos pembelian ubat oleh kerajaan Malaysia sendiri.

Ketidaksenangan terhadap bab IPR dalam TPPA pernah disuarakan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang menentang pelanjutan tempoh paten dan meminta kerajaan lebih telus dalam memaklumkan kepada rakyat mengenai kesan TPPA.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam pula pada Mac lalu di Parlimen menegaskan Malaysia tidak boleh menyokong sebarang langkah yang akan menghalang akses rakyat kepada ubat generik yang selama ini telah melindungi rakyat dan memastikan harga ubat terkawal.

Kemasukan bab IPR yang mengikat secara undang-undang dalam perjanjian perdagangan ini adalah isu yang sangat kontroversi dan pakar ekonomi termasuk penerima Hadiah Nobel, Prof Joseph Stiglitz menentang keras tindakan ini.

Dalam satu forum di New York awal tahun ini, Stiglitz berkata negara membangun seperti Malaysia yang terlibat dalam TPPA akan menanggung lebih banyak kerugian di bawah bab IPR jika cadangan yang diusulkan AS diterima.

Katanya, cadangan itu akan memberi kuasa melampau kepada syarikat farmasi gergasi untuk menghalang pengeluaran dan bekalan ubat daripada pesaing mereka, iaitu syarikat ubat generik.

“Kami (AS) negara kaya tetapi banyak negara TPPA lain tidak begitu kaya dan jika (perjanjian) ini diteruskan, orang akan mati dan bajet (kesihatan) akan melonjak. Jadi masalah ini lebih besar kepada mereka (negara membangun dalam TPPA) berbanding AS,” katanya.

Namun AS, negara asal banyak syarikat farmasi gergasi, tidak kisah sama ada rakyat kita mampu membeli ubat atau tidak.

Berdasarkan draf rundingan bab IPR dalam TPPA yang dibocorkan sebelum ini, AS mencadangkan tempoh hak cipta itu dipanjangkan selain ingin memperkenalkan 12 langkah yang akan menaikkan harga ubat di pasaran.

Objektif mereka hanya satu iaitu memberi keuntungan berlipat kali ganda kepada syarikat farmasi AS yang sudah pun merekodkan untung berbilion ringgit.

Ini meletakkan nyawa jutaan rakyat Malaysia terutama yang berpendapatan rendah dalam bahaya. Adakah ini perjanjian yang kerajaan ingin tandatangani, yang memberi risiko kepada rakyat Malaysia?

END

Comments