Artikel TPPA no. 6 (2015): Jangan gadaikan GLC kita

Jun 15, 2015 Publish by MTEM

Berikut adalah artikel asal yang diterbitkan di Sinar Harian setiap hari Isnin dalam sisipan Bisnes.

Jangan gadaikan GLC kita

Minggu lalu kita telah bercakap mengenai kesan buruk Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

Hakikatnya, bukan hanya PKS yang akan terjejas kerana perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang sedang dirundingkan oleh Malaysia itu turut memberi risiko besar kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah seksyen Syarikat Milik Kerajaan (SOE) dalam bab Persaingan.

Kita tidak tahu apa sebenarnya yang disyaratkan di bawah seksyen SOE kerana butiran rundingan dirahsiakan sama sekali oleh negara peserta tetapi kita boleh membuat jangkaan hampir tepat dengan melihat FTA milik Amerika Syarikat (AS) sebelum ini. Ini kerana AS diketahui menggunakan acuan sama untuk FTA dengan mana-mana negara lain.

Di bawah bab SOE dalam FTA antara AS dan Singapura, tiga subjek utama ditekankan oleh AS iaitu kelakuan perniagaan yang berbentuk antipersaingan, monopoli yang ditetapkan kerajaan dan syarikat milik kerajaan.

Menurut AS, ketiga-tiga subjek ini boleh mengekang manfaat perdagangan dan pelaburan yang ingin dicapai oleh FTA itu jadi kedua-dua negara perlu melarang atau ‘mendisiplinkan’ entiti yang disebutkan itu serta memiliki dasar persaingan yang baik dari segi ekonomi.

AS juga mahu Singapura mewujudkan undang-undang persaingan dalam tempoh setahun FTA itu ditandatangani. Bukan mudah untuk menggubal undang-undang itu dan dalam masa sama tidak menganggu perkembangan perniagaan domestik.

Malaysia bergelut dalam dilema untuk mewujudkan dasar dan undang-undang persaingan yang sesuai sejak sekian lama. Jadi bukan satu tindakan bijak untuk Malaysia tergesa-gesa mewujudkan undang-undang persaingan di bawah TPPA kelak tanpa mempunyai formula yang betul.

Dalam TPPA, AS dan Australia mengusulkan pendisiplinan yang menyeluruh dikenakan terhadap GLC di bawah bahagian SOE. Jika Malaysia menerimanya, ia akan membuka kontrak perolehan semua GLC di negara ini kepada syarikat luar tanpa nilai ambang (threshold) minimum.

Ia juga akan mengehadkan keupayaan kerajaan Malaysia untuk menyalurkan wang kepada GLC jika diperlukan termasuk penghapusan hutang, jaminan pinjaman dan lain-lain. Jadi GLC tidak boleh menerima pinjaman lebih murah daripada pesaing di sektor swasta, tidak boleh membayar cukai lebih rendah atau menerima pengecualian daripada apa-apa peraturan.

Perasaan tidak senang AS terhadap keistimewaan diberikan kepada GLC Malaysia bukan rahsia, kerana ia pernah disebut dalam laporan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) pada 2006.

“Ada syarikat AS yang mahukan langkah (menghalang) amalan antipersaingan yang dirasakan berlaku di Malaysia. Contohnya, kerajaan Malaysia tidak memberikan butiran mengenai dasar persaingan untuk industri tempatan dan antarabangsa (yang sedang diusulkan pada masa itu) dan tidak mendapatkan maklum balas awam, di sebalik permintaan kerajaan dan syarikat AS untuk diberikan peluang menyalurkan input berhubung dasar itu,” menurut laporan USTR.

Apa yang dirujuk USTR ialah Akta Persaingan 2010 yang mula dikuatkuasakan pada 2011. Akta ini mengecualikan beberapa tindakan antipersaingan jika ia dilakukan untuk mencapai objektif sosial yang ditetapkan kerajaan.

Akta itu juga tidak terpakai terhadap aktiviti yang dijalankan pihak berkuasa, termasuk hak untuk memberikan tender kepada mana-mana pihak serta kuasa yang diberikan kepada GLC untuk menjalankan dasar kerajaan.

Bukan sesuatu yang luar biasa atau salah untuk mana-mana negara menggunakan undang-undang atau syarikatnya sebagai alat untuk memastikan kestabilan politik dan sosioekonomi negara.

Namun di bawah TPPA, semua ini dianggap kelakuan antipersaingan yang akan mengehadkan manfaat yang ingin diperolehi negara peserta kerana kontrak dan perkhidmatan yang diberikan kepada atau oleh GLC sepatutnya dibuka untuk syarikat luar seperti dari AS.

Bab Persaingan yang dicadangkan AS bermatlamat mewujudkan peraturan untuk mendisplinkan amalan perniagaan, syarikat monopoli dan GLC supaya kebebasan dan kuasa mereka dikekang dan supaya syarikat AS dapat mengambil kesempatan sepenuhnya untuk mengakses pasaran Malaysia.

Realitinya, kita memerlukan perlindungan ini. Syarikat AS sangat besar dan berkuasa menyebabkan syarikat Malaysia perlu dibantu dan dilindungi supaya mereka dapat bersaing.

Kalau diikutkan cadangan yang diusulkan AS, boleh dilihat AS seakan-akan ‘alah’ dengan monopoli dalam industri. Ironinya, jika semua bantuan dan perlindungan kepada GLC Malaysia dihapuskan seperti dituntut bab Persaingan di bawah TPPA, ia hanya akan membantu kewujudan monopoli yang lebih besar oleh syarikat luar.

Akhirnya, syarikat Malaysia akan menjadi lemah dan tidak mampu bersaing dengan mereka. Memang secara idealnya, syarikat Malaysia patut boleh berjaya bersaing secara bebas di mana-mana sahaja tetapi perlu diakui kita belum berada di tahap itu, apatah lagi jika dibandingkan dengan negara maju seperti AS, Australia dan Kanada.

MTEM mencadangkan bab Persaingan itu tidak perlu ada dalam TPPA. Jika kerajaan tetap mahu menerimanya, bahagian SOE dalam bab itu perlu dibuang kerana ia akan menjejaskan GLC yang telah banyak dan masih diperlukan untuk membantu pembangunan negara.

Adakah kerajaan sanggup membiarkan GLC kita ditelan syarikat luar semata-mata kerana mahu memuaskan hati segelintir pihak? Ingatlah, pulangan yang lebih penting daripada GLC bukanlah wang semata-mata tetapi kestabilan sosioekonomi yang selama ini menjadi tulang belakang keharmonian negara.

Jangan digadaikan harta yang satu itu.

END

Tags: , , , ,

Comments