Artikel TPPA no 5 (2015): TPPA tabur pasir dalam periuk nasi PKS

Jun 8, 2015 Publish by MTEM

Berikut adalah artikel asal yang diterbitkan oleh Sinar Harian setiap hari Isnin dalam sisipan Bisnes.

 

TPPA tabur pasir dalam periuk nasi PKS

Antara hujah yang sering ‘dijual’ oleh penyokong Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), termasuk wakil kerajaan ialah perjanjian itu akan membuka peluang luas kepada syarikat di negara ini, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengakses pasaran negara luar dengan mudah sekali gus melonjakkan perniagaan mereka.

Ini kerana TPPA mempunyai bab Akses Pasaran yang membuka seluas-luasnya pasaran semua negara anggota kepada syarikat milik satu sama lain sama ada bagi produk atau perkhidmatan.

Hujah ini dibuat berdasarkan tanggapan syarikat kita dan syarikat negara maju yang menyertai TPPA seperti Amerika Syarikat (AS), Australia dan Kanada adalah setaraf dan mempunyai peluang sama rata.

Hakikatnya, kita tidak akan mendapat peluang sama rata itu, walaupun syarikat dan PKS Malaysia mungkin setaraf dengan mereka dari segi kualiti.

Seperti yang telah kami katakan dalam artikel minggu lalu berhubung pasaran perolehan kerajaan, ada banyak faktor selain keupayaan perniagaan yang akan menyebabkan syarikat tempatan tidak mampu menembusi pasaran luar seperti dijanjikan dalam TPPA kerana pelbagai bentuk diskriminasi yang telah dan akan diwujudkan terutamanya oleh negara maju.

AS secara agresif mahu memastikan tarif dan halangan lain terhadap barangan mereka, termasuk produk pertanian, dikurangkan sebaik TPPA ditandatangan tetapi bagi Malaysia, pelbagai halangan lain termasuk kos, undang-undang dan keadaan politik akan menghalang syarikat negara ini menembusi AS.

Contohnya, kos untuk mengeksport lebih tinggi kerana perlu menepati pelbagai standard ditetapkan negara berbeza dan ketidaktentuan kadar tukaran mata wang.

Di Malaysia, PKS adalah tulang belakang ekonomi negara, dengan hampir 650,000 PKS merangkumi 97.3 peratus daripada jumlah semua perniagaan di Malaysia serta menyumbang 33.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar, mengikut Laporan Ekonomi 2014/2015 dikeluarkan Perbendaharaan.

Majoriti PKS ini bergantung pada pasaran domestik, dan hanya 25.6 peratus daripada produk PKS dalam sektor pembuatan dieksport keluar. Ini menyebabkan mereka lebih mudah terjejas jika terdapat peningkatan mendadak dalam persaingan di pasaran domestik apabila syarikat luar mula membanjiri negara.

Kita tidak dapat lari daripada membandingkan TPPA dengan perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas Amerika Utara  (Nafta) kerana TPPA diketahui mengikut acuan sama dengan Nafta. Kesan persaingan tidak adil berpunca daripada bab Akses Pasaran dapat dilihat di Mexico selepas ia menandatangani Nafta dengan AS dan Kanada.

Menurut kajian pertubuhan pemikir antarabangsa, Carnegie Endowment for International Peace, Nafta adalah faktor tunggal paling jelas yang menyebabkan kehilangan pekerjaan dalam sektor pertanian di Mexico apabila tiga juta daripada 10 juta petani di Mexico terpaksa berhenti mengusahakan tanah mereka kerana tidak mampu bersaing lagi.

Malaysia sekarang mempunyai sistem tarif dan kuota untuk produk pertanian seperti haiwan ternakan dan sayuran. TPPA pula mahukan semua tarif ini dihapuskan, jadi bagaimana nasib petani kita?

AS juga sepanjang rundingan TPPA amat tegas dengan pendiriannya supaya beras dimasukkan dalam perjanjian itu dan mahu Malaysia mengurangkan tarif bagi beras. Tapi dalam masa yang sama, mereka enggan mengurangkan subsidi yang diberikan kepada petani mereka.

Subsidi amat tinggi bagi produk pertanian di AS menyebabkan harganya menjadi lebih rendah daripada sepatutnya di pasaran.

Ia memberikan kesan berikut: Pertama, menghalang negara lain seperti Malaysia daripada meningkatkan penembusan pasaran AS.

Kedua, membolehkan AS mengeksport produk pertaniannya kerana ia menjadikan harga produk lebih rendah berbanding kos pengeluaran. Negara lain perlu mengenakan tarif lebih tinggi untuk menghalang produk ini dijual dengan harga terlalu rendah melalui cara tidak adil ini.

Ketiga, kos pengeluaran tanaman utama di AS lebih tinggi berbanding harga jualannya.

Petani dan NGO telah menyuarakan kebimbangan TPPA akan merangkumi eksport beras bersubsidi dari AS sehingga menjejaskan pendapatan petani. Pada masa ini, tidak banyak beras AS diimport ke Malaysia kerana tarif 40 peratus dan kuota oleh Bernas yang ditetapkan kerajaan bagi melindungi petani tempatan.

Kerajaan AS sebelum ini sudah pun memaklumkan mereka ingin mengeksport lebih banyak produk pertanian ke Malaysia khususnya beras, soya, ayam dan daging. Jadi bagaimana PKS Malaysia dapat manfaat daripada TPPA jika semua ini berlaku?

Kesan sama akan dapat dilihat dalam sektor pembuatan serta sektor perkhidmatan termasuk telekomunikasi, perbankan, jualan langsung, insurans, keselamatan, undang-undang dan pelbagai lagi.

Rundingan TPPA hanya akan memberi tekanan kepada Malaysia untuk menghapuskan atau mengurangkan pelbagai langkah yang pada masa ini membantu firma tempatan mengekalkan kedudukan mereka.

MTEM berpendapat bagi isu akses pasaran ini, perlu ada pengecualian menyeluruh dalam TPPA bagi menjamin keupayaan kerajaan pusat atau negeri untuk membuat peraturan demi kepentingan awam dengan membenarkan perbezaan dibuat antara syarikat domestik dan luar negara.

Selain itu, perjanjian perdagangan tidak sepatutnya mengekang kuasa negara untuk mewujudkan standard teknikal, syarat layak dan syarat perlesenan.

Kerajaan sejak sekian lama memperjuangkan kempen Beli Barangan Malaysia bagi menyokong pertumbuhan industri dalam negara. Jangan sampai tidak ada lagi barangan buatan Malaysia yang boleh dibeli di pasaran jika TPPA ditandatangani kelak.

END

Comments