Artikel TPPA no. 4: Siapa patut dapat kontrak kerajaan?

Jun 1, 2015 Publish by MTEM

Berikut adalah artikel asal yang diterbitkan oleh Sinar Harian setiap hari Isnin dalam sisipan Bisnes.

Siapa patut dapat kontrak kerajaan?

Adakah tender untuk membekalkan barang dan perkhidmatan kepada kerajaan serta kontrak untuk membina kemudahan awam di negara ini perlu dibuka sepenuhnya kepada syarikat luar negara?

Ini antara perdebatan utama mengenai bab Perolehan Kerajaan di bawah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang kini dirundingkan Malaysia bersama-sama Amerika Syarikat (AS) dan 10 negara lain.

Perolehan kerajaan adalah isu amat sensitif kerana ia sebenarnya satu bentuk perniagaan yang bernilai trilion ringgit, menjadikannya lubuk pendapatan kepada mana-mana syarikat.

Sebahagian besar pendapatan negara membangun secara puratanya adalah daripada perbelanjaan kerajaan pusat yang membeli barangan, membayar pelbagai jenis perkhidmatan dan membiayai bermacam-macam projek daripada membina sekolah dan jalan raya kepada empangan mega dan kompleks industri bernilai berbilion ringgit.

Sebab itulah negara maju seperti AS kini memasukkan bab Perolehan Kerajaan dalam perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang diusulkan mereka, bagi menetapkan peraturan dalam bidang perolehan kerajaan bagi memudahkan mereka menyelusup masuk ke dalam bidang lumayan itu.

Ini jugalah yang sedang berlaku dalam TPPA. Perjanjian bercita-cita tinggi itu mahu menentukan apa jenis syarat yang boleh dan tidak boleh dikenakan kepada pembekal yang berminat mahu membekalkan barangan dan perkhidmatan kepada kerajaan.

Malah banyak prosedur baru perlu diikuti kerajaan di bawah TPPA, contohnya menetapkan jenis prosedur tender yang perlu diikuti dan mewajibkan negara menubuhkan institusi penilaian bebas untuk membolehkan pembekal mencabar keputusan kerajaan dalam penganugerahan kontrak.

TPPA mengikut acuan AS juga memberikan definisi meluas terhadap perolehan kerajaan termasuk pelbagai peringkat kerajaan seperti pusat, negeri dan pihak berkuasa tempatan serta pelbagai jenis perniagaan milik kerajaan.

Contohnya, FTA antara AS-Chile menyebut salah satu daripada matlamat bab Perolehan Kerajaan ialah untuk memberikan akses menyeluruh tanpa diskriminasi kepada syarikat luar negara untuk menembusi pasaran perolehan kerajaan dengan membuang halangan terhadap syarikat luar negara untuk membekalkan barang dan perkhidmatan, termasuk perkhidmatan pembinaan kepada kerajaan.

Selalunya syarikat antarabangsa hanya akan dipelawa untuk membuat bidaan bagi kontrak kerajaan jika barangan dan perkhidmatan yang diperlukan tidak ada di dalam negara.

Mungkin ada yang berpendapat keterbukaan dalam tender kerajaan adalah sesuatu yang baik, kerana kita selalu dengar cerita-cerita tender dan kontrak kerajaan ini diperdebat dalam Parlimen atau dikritik pembangkang serta NGO.

Namun dalam banyak kritikan yang kita dengar termasuk dari pembangkang, tiada siapa pun yang menafikan sistem perolehan kerajaan adalah hak kita sendiri sebagai negara berdaulat untuk tentukan.

Hakikatnya, perolehan kerajaan merupakan alat ekonomi, sosial dan politik paling penting dalam sesebuah dasar kerajaan dan perlu dikawal ketat bagi mencapai matlamat negara itu sendiri, sama ada dari sudut ekonomi atau sosial.

Sebab itu kebanyakan negara mempunyai garis panduan yang melebihkan penganugerahan projek kepada syarikat tempatan.

Selain itu, perolehan kerajaan juga digunakan untuk memperluaskan peluang kepada perniagaan tempatan, seperti penggunaan bank tempatan di dalam perniagaan kerajaan.

Malaysia juga menggunakan perolehan kerajaan sebagai alat penting dalam meningkatkan peluang komuniti Bumiputera, terutama dalam kontrak pembinaan seperti tertakluk di bawah Dasar Ekonomi Baharu dan dasar serupa selepasnya bagi menjamin kestabilan sosial dan politik.

Namun di bawah FTA yang diusulkan AS, semua ini akan berubah kerana AS mahu memastikan tiada sebarang kelebihan diberikan kepada syarikat tempatan atau mana-mana kaum di dalam negara ini.

Dalam FTA antara negara maju dan membangun seperti TPPA, sudah tentu negara maju boleh mengambil lebih kesempatan daripada akses kepada pasaran perolehan kerajaan ini kerana mereka mempunyai kemampuan lebih tinggi.

Adakah syarikat Malaysia boleh menembusi pasaran kerajaan AS pada tahap yang sama syarikat AS boleh menembusi pasaran kerajaan Malaysia, secara logiknya? Jadi peraturan dalam TPPA itu sendiri akan menimbulkan ketidakstabilan antara negara peserta.

Apa yang kami cadangkan ialah tidak perlu dimasukkan sama sekali bab Perolehan Kerajaan ini di dalam TPPA.

Namun jika kerajaan tetap mahu ia dimasukkan, ia mesti mengandungi peruntukan atau pengecualian yang membolehkan Malaysia mengekalkan dasar membenarkan layanan lebih kepada syarikat tempatan dan kaum tertentu, mengikut matlamat negara.

Nilai ambang (threshold) yang ditetapkan untuk sesuatu projek pula perlu cukup tinggi bagi memastikan projek-projek kecil yang menjadi sumber pendapatan perniagaan kecil dan sederhana di Malaysia tidak dilahap oleh syarikat luar.

Perolehan kerajaan di tahap kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan syarikat milik kerajaan (GLC) tidak patut disentuh langsung dalam TPPA dan jumlah kontrak kerajaan yang perlu dibuka oleh Malaysia mestilah kurang daripada negara maju.

Disebabkan perolehan kerajaan adalah alat penting untuk pembangunan ekonomi dan negara, adalah amat mustahak bagi negara membangun untuk mengekalkan kuasa autonomi penuh dan memiliki fleksibiliti terhadap dasar berkaitan perolehan kerajaan.

END

 

 

Tags: , ,

Comments