Artikel TPPA no. 01 (2015): Tsunami ekonomi Malaysia

May 11, 2015 Publish by MTEM

Berikut adalah artikel asal yang diterbitkan oleh Sinar Harian setiap hari Isnin dalam sisipan Bisnes.

 

TPPA: Tsunami Ekonomi Malaysia

Penulis: Mohd Nizam Mahshar, CEO MTEM

Mungkin bagi ramai orang, perjanjian antarabangsa antara negara bukan sesuatu yang perlu diambil tahu secara mendalam kerana ia seolah-olah tiada kaitan dengan kehidupan seharian kita.

Tetapi kini ada satu perjanjian antarabangsa yang bukan sahaja akan memberi kesan besar kepada kehidupan seharian kita malah akan menyebabkan ramai orang kehilangan kerja serta kedaulatan negara dicabuli sewenang-wenangnya oleh negara luar.

Ia digelar Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Perjanjian inilah yang MTEM terus menerus berjuang sejak dua tahun lalu bagi memastikan ia tidak ditandatangani Malaysia.

Sudah puluhan pertemuan dibuat antara MTEM dan kerajaan yang diwakili Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengenai TPPA namun sehingga kini, tiada sebarang maklumat kukuh mengenai kedudukan Malaysia apabila TPPA dilaksanakan.

Ini kerana teks sebenar rundingan itu tidak dapat diteliti wakil pertubuhan bukan kerajaan termasuk MTEM kerana dijadikan dokumen sulit dan hanya boleh dibaca beberapa tahun selepas perjanjian itu ditandatangani. Malahan ramai kepimpinan kerajaan dan politik mengakui mereka tidak punya akses mahupun dibawa berbincang berkenaan isi sebenar perjanjian TPPA. Taklimat yang diadakan berterusan hanya di peringkat kosmetik.

Kebimbangan juga semakin memuncak apabila kerajaan Malaysia dilihat masih bersungguh-sungguh meneruskan rundingan yang kini masuk tahun kelima, dengan kemungkinan perjanjian itu akan dimuktamadkan bulan depan.

Dalam siri lapan artikel mengenai TPPA ini, MTEM akan menjelaskan secara mudah mengenai TPPA serta kesan buruknya, mengikut sektor berbeza, kepada Malaysia dan rakyat negara ini.

Ringkasnya, TPPA adalah perjanjian perdagangan yang sedang dirundingkan 12 negara iaitu Malaysia, AS, Jepun, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

Namun peraturan dalam TPPA bukan sahaja menyentuh isu berkaitan perdagangan, malah isu yang tiada kena mengena dengan perdagangan seperti perolehan kerajaan, ubat-ubatan, hak harta intelek dan juga alam sekitar.

Isu yang sebelum ini tidak perlu dirundingkan dalam mana-mana perjanjian perdagangan, seperti kedudukan syarikat milik kerajaan (GLC) juga disentuh dalam TPPA.

Senang cerita, AS yang merupakan arkitek utama TPPA mahu menentukan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan negara peserta TPPA.

TPPA akan menjadi lubuk kepada syarikat dari negara maju untuk mengumpul kekayaan tanpa sempadan dan kesan buruk kerakusan ini perlu ditanggung negara membangun seperti Malaysia.

Hakikat bahawa AS pelopor TPPA juga membimbangkan banyak pihak, termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkali-kali menggesa supaya TPPA tidak ditandatangani.

Menurutnya, perjanjian itu adalah muslihat AS untuk menembusi pasaran domestik negara-negara Asia Pasifik, dan bukan perkongsian yang sama rata serta akan hanya merugikan negara.

Pendirian Dr Mahathir itu dikongsi bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin yang turut dilaporkan media sebagai berkata TPPA hanya akan memberi persaingan sukar kepada syarikat tempatan.

Penyokong TPPA sering menggunakan hujah perjanjian itu akan meningkatkan aliran dagangan produk danperkhidmatan antara negara.

Penentang TPPA mempersoalnya kerana tiada sebarang kajian menunjukkan perjanjian seperti itu akan membawa masuk lebih banyak pelaburan luar, seperti dilalui Mexico dalam Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) dengan AS dan Kanada.

NAFTA secara asasnya sama seperti TPPA dan terbukti, negara membangun seperti Mexico merana selepas menandatangani perjanjian itu.

Mexico diheret oleh syarikat pengurusan sisa buangan berpusat di AS, Metalclad Corp ke tribunal antarabangsa selepas kerajaan negeri San Luis Potosi mengarahkan kilang sisa buangan milik syarikat itu ditutup kerana ia akan mencemarkan bekalan air penduduk tempatan.

Keputusannya? Kerajaan Mexico kalah dalam kes tersebut dan perlu membayar pampasan AS$16.7 juta iaitu lebih kurang RM60 juta kepada Metalclad.

Jelas sekali, TPPA yang menggunakan kerangka seperti NAFTA berat sebelah kepada syarikat multinasional tanpa mengambil kira dasar sesebuah kerajaan yang dibuat bagi memastikan kebajikan, keselamatan dan kesihatan rakyatnya.

TPPA mungkin memberikan AS dan Jepun ruang untuk menembusi pasaran negara peserta lain secara agresif tetapi bagi Malaysia, sukar untuk perniagaan dari negara ini mendapat akses pasaran di negara maju kerana kekangan dari segi struktur, undang-undang dan politik.

Bukanlah perniagaan Malaysia tidak mempunyai daya saing untuk berjaya di pasaran antarabangsa, tetapi ia perlu dilakukan mengikut acuan dan peraturan kita sendiri, bukannya mengikut peraturan negara lain yang hanya menjaga kepentingan mereka.

Paling utama, sebelum bergerak ke ‘medan perang’ di peringkat antarabangsa, kepentingan rakyat dan hal ehwal domestik perlu dilindungi terlebih dahulu bagi memastikan musuh tidak dapat menyusup masuk menggunakan jalan belakang.

Malaysia perlu tingkatkan usaha untuk membina keupayaan perniagaan tempatan, perkukuhkan industri domestik dan perkemas undang-undang serta peraturan berkaitan sebelum menyertai ‘permainan’ tahap tinggi bersama-sama negara maju lain. Jangan biar kita terjajah buat kali seterusnya.

END

 

Comments