Padi Rescue.

Posted on |

Padi Rescue ditubuhkan bagi memastikan Dasar Jaminan Keselamatan Makanan Kebangsaan dan beberapa polisi dasar serta inisiatif yang dilaksanakan bagi memastikan bekalan makanan asasi dalam negara adalah terjamin dan selamat. Walau bagaimanapun, disebalik usaha-usaha tersebut, beberapa sumber makanan penting masih belum mencukupi sehingga terpaksa diimport pada jumlah yang besar. Keadaan ini menjadi tidak mapan, khususnya apabila negara berdepan masalah kenaikan kos sara hidup, penyusutan nilai mata wang dan bencana banjir. Di tambah pula denganĀ  penguatkuasaan yang kurang berkesan serta amalan monopoli, menyebabkan salah satu daripada sumber makanan asasi negara iaitu beras menerima kesan yang besar.

14 tuntutan Padi Rescue.

  1. Menubuhkan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) yang kuasanya merentasi setiap peringkat rantaian industri padi dan beras bagi mengatasi masalah ketiadaan koordinasi, penindasan, salah guna kuasa serta eksploitasi di peringkat benih, padi dan beras.
  2. Pertahankan kedaulatan dan jaminan keselamatan makanan Negara dengan sasaran tahap sara diri (SSL) padi 100%. Jangan berhenti setakat 70% dan jangan mengutamakan penggunaan indek keselamatan makanan (Food Security Index) yang berpaksikan free-trade serta mengabaikan kebajikan petani.
  3. Utamakan beras tempatan dalam penyediaan beras stokpile negara dan penggunaan dalam pasaran tempatan serta pastikan kawalan ketat dilaksanakan terhadap kemasukan beras import samada melalui penyeludupan atau secara sah.
  4. Lembaga Padi Dan Beras Negara (LPN) yang akan ditubuhkan nanti mesti diberi kuasa yang lebih untuk mengawal kemasukan dan pengedaran beras import. Cukai mesti dikenakan keatas beras import. Cukai import ini kemudian digunakan untuk tabung khas bagi memastikan pendapatan petani terjamin jika berlaku musibah dan juga digunakan untuk program pembangunan kilang-kilang dan pemborong Melayu yang semakin terpinggir.
  5. Memperkasakan semula kilang-kilang Melayu dengan penjadualan semula hutang kilang-kilang yang telah ditamatkan akibat tiada pembiayaan, diberi pinjaman stok untuk modal membeli padi dan sebahagian daripada AP beras import diberikan kepada pengilang Bumiputera.
  6. Kouta monopoli penghasilan padi benih kepada pihak-pihak tertentu di hapuskan. Padi benih hendakkah di tanam dikawasan terasing untuk memastikan ketulenannya terjamin serta diuruskan oleh sebuah agensi pertanian yang tiada kepentingan komersial dan harga syiling padi benih di tetapkan.
  7. Melaksanakan pemotongan pemutuan sebenar padi dengan had syiling yang berpatutan dan dengan kawal seliaan yang ketat. Petani yang merasakan dianiaya boleh membuat bantahan kepada LPN melalui satu mekanisma yang mudah dan berkesan
  8. Kaji semula keadah pemberian subsidi harga padi bagi semua hasil padi samada dijual terus, digunakan sendiri untuk benih atau dikisar menjadi beras. Ini memberi kebebasan kepada petani untuk memilih benih sendiri dan dengan mengisar sendiri padi untuk dijadikan beras petani dapat memperolehi lebihan pendapatan.
  9. Pemberian subsidi diuruskan oleh pihak LPN atau IADA (Integrated Agricultural Development Autority) seperti MADA dan KADA bukannya oleh sebuah syarikat persendirian seperti BERNAS.
  10. GST terhadap input pertanian dihapuskan, manakala harga input pertanian dan kadar upah dikawal serta menguatkuasakan agensi yang akan menyelia mesin jentuai untuk mengatasi masalah padi tumpah (post harvest loss) ketika menuai kerana mesin yang tidak mengikut spesifikasi.
  11. Subsidi input diberi dalam bentuk tunai dengan kaedah yang sesuai supaya petani boleh memilih pilihan baja yang berkualiti dan sesuai dengan agronomik tanah masing- masing serta kerajaan perlu melaksanakan dasar untuk mengurangkan penggantungan bahan kimia yang terlalu berat dalam pertanian demi kesihatan petani serta pengguna.
  12. Menangani masalah serangan perosak dan penyakit dengan serius serta profesional melalui sebuah pasukan pemantau dan rujukan khas (reference center) yang benar-benar berfungsi di setiap kawasan jelapang.
  13. Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) diberikan hak sebagai pemborong dan peruncit beras.
  14. Menghalang pertukaran syarat guna tanah pertanian padi kepada status lain yang kini dilihat seperti dilakukan sewenang-wenangnya.

Galeri