Gaji minimum: MTEM bantu cari penyelesaian menang-menang
KUALA LUMPUR: Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu Berhad (MTEM) sedang menyediakan satu kertas dasar untuk dibentangkan kepada kerajaan bagi mewujudkan penyelesaian ‘menang-menang’ bagi majikan dan pekerja berhubung isu kenaikan gaji minimum.
Felo MTEM, Azlan Awang, berkata konsep gaji kehidupan wajar atau kos sara hidup adalah teras utama cadangan yang bakal diutarakan kerana ia adalah parameter menyeluruh bagi membantu kerajaan merealisasikan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dan Wawasan Kemakmuran Bersama menjelang 2030.
Katanya, initiatif MTEM seterusnya adalah menjadi pemudah cara pihak kerajaan ke arah penyatuan yang lebih bermakna sebagaimana disarankan dalam RMK12 untuk memberi lebih suara dalam mana-mana rundingan penetapan gaji dan upah.
“Kenaikan gaji pekerja minimum dilihat bukan perlu sekadar mampu menampung keperluan asas tetapi harus mengambil kira keupayaan untuk hidup dalam masyarakat, mempertingkat keupayaan diri dan keluarga, serta bebas daripada kesempitan kewangan atau hutang melampau.
“MTEM bimbang sekiranya ia dibiarkan berlarutan, ekonomi negara akan terus terperangkap dalam situasi gaji rendah, kurang berkemahiran dan nilai rendah menyebabkan majikan mengambil pekerja yang tidak mahir serta lambakan tenaga asing,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO mengumumkan kadar gaji minimum baharu RM1,500 akan mula dilaksanakan pada 1 Mei ini di seluruh negara, pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Azlan berkata, MTEM percaya peningkatan gaji dan pendapatan isi rumah sememangnya mendorong kepada pemulihan serta ekonomi apabila berkembangnya permintaan domestik.
Selain itu, katanya kenaikan gaji menjadi insentif kepada industri untuk berhijrah kepada pendekatan kurang buruh dan lebih berorientasikan kepada kemahiran serta teknologi.
“Dalam pada itu, laporan RMK12 juga menyokong usaha meningkatkan keahlian dalam kesatuan sekerja bagi memberikan lebih suara dalam rundingan penetapan gaji.
“MTEM berpendapat keahlian dalam kesatuan sekerja di negara kita perlu dipertingkatkan sehingga 40 peratus dalam tempoh 10 tahun akan datang berbanding hanya enam peratus hari ini,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, kadar gaji minima RM1,500 yang diputuskan kerajaan sememangnya wajar, tetapi belum mencerminkan peningkatan sepatutnya.
“Ini kerana jika mengikut formula penetapan gaji minima oleh Kementerian Sumber Manusia yang melihat parameter seperti garis kemiskinan, produktiviti dan elemen indeks harga pengguna, gaji minima kebangsaan yang patut diumumkan adalah RM1,832 sebulan.
“MTEM maklum kenaikan gaji minimum mendadak akan meletakkan beban besar bukan sahaja kepada majikan dan kerajaan, tetapi jika tidak dipantau dengan baik, ia akan mendorong kepada kenaikan harga barangan serta perkhidmatan.
“Kitaran kejam ini akhirnya akan menghukum pekerja sendiri apabila kenaikan gaji tidak dapat dinikmati sepenuhnya seterusnya boleh mendorong kepada kebergantungan khidmat tenaga asing,” katanya.
Beliau turut berkata, inisiatif gaji minimum yang diumumkan baru-baru ini, walaupun disokong penuh MTEM sebagai langkah positif ke arah mencapai kesaksamaan gaji, ia belum mampu memberikan penyelasaian tuntas kepada kerajaan.
“Dalam dunia semakin mahal dan kompetitif, gaji pekerja tidak boleh berada pada paras ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ lagi, kerana defisit besar tersebut lambat laun akan membebani bahu kerajaan, tak kiralah siapa yang memerintah,” katanya.