MTEM seru ‘langkah berani’ tingkat ekonomi Bumiputera

PETALING JAYA: Kerajaan perlu lebih berani dan melakukan sokongan dan penambahbaikan pembangunan ekosistem Melayu-Bumiputera.

Felo kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (Mtem), Ahmad Yazid Othman, berkata perkara itu tidak jelas khususnya dalam kerangka Ekonomi Madani.

“Kerajaan perlu lebih berani untuk melakukan dan dilihat melakukan sokongan atau penambahbaikan terhadap pembangunan ekosistem Melayu-Bumiputera dengan segera,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, setiap perdana menteri semenjak Abdul Razak Hussein yang memperkenal Dasar Ekonomi Baru (DEB) tidak “apologetik” dalam melaksanakan program atau memberi kelebihan strategik memperkasa Bumiputera.

Katanya, akibat polemik politik berpanjangan badan itu mendapati agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, dan kementerian tidak pantas membuat keputusan dan lazimnya memperlahankan proses perolehan.

“Ia memberi kesan lansung pada usahawan dan kontraktor yang terjejas secara tidak langsung memberi gambaran agenda Bumiputera bukan keutamaan,” katanya sambil mendakwa agensi dulunya bertanggungjawab memperkasa Bumiputera seperti dipinggirkan dan tidak diberi perhatian oleh kerajaan.

Yazid berkata, langkah kerajaan menghapuskan rundingan terus sebagai satu langkah positif dalam mengurangkan ketirisan.

“Namun tiada langkah-langkah diumumkan untuk memberi jaminan kepada usahawan-usahawan Bumiputera yang projek-projek kerajaan tidak akan didominasi oleh konglomerat-konglomerat dan syarikat-syarikat tersenarai yang secara majoriti terdiri daripada syarikat bukan Bumiputera,” katanya.

Katanya, kerangka Ekonomi Madani mesti melaksanakan reformasi dalam penyampaian agenda Bumiputera.

“Kita ingin melihat lebih ramai syarikat berpotensi Bumiputera yang tulen diberi keutamaan sewajarnya khususnya dalam sektor sektor yang berteknologi termasuk dalam kerangka Ekonomi Madani,” katanya sambil menambah pemikiran sama tidak akan menghasilkan hasil berbeza.

Pada 27 Julai, Perdana Menteri Anwar Ibrahim melancarkan visi baharu, Ekonomi Madani, menyasarkan pemerkasaan rakyat untuk mengembalikan negara sebagai teraju ekonomi di rantau Asia Tenggara.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2023/08/18/mtem-seru-langkah-berani-tingkat-ekonomi-bumiputera/